Surah al-Maun adalah salah satu surah dalam al-Quran yang mengandungi teguran keras daripada Allah terhadap mereka yang beribadah hanya di bibir tetapi kosong dari kasih sayang dan kepedulian terhadap orang lain. Surah ini bukan sekadar membicarakan soal solat, tetapi lebih mendalam mengingatkan kita tentang hakikat keimanan yang sebenar: mengasihi dan membantu mereka yang memerlukan.
Ayat Pertama: "Tahukah kamu orang yang mendustakan agama?" (Al-Maun: 1)
Siapa yang Mendustakan Agama?Allah membuka surah ini dengan satu persoalan yang mengajak kita untuk berfikir:
Kita mungkin beranggapan bahawa pendusta agama ialah mereka yang tak solat/puasa. Namun, jawapan yang diberikan oleh Allah dalam ayat-ayat berikut amat mengejutkan. Allah tidak menyebut tentang solat secara langsung, tetapi sebaliknya mengaitkan pendustaan agama dengan dua sifat buruk utama:
- Mengabaikan anak yatim (Al-Maun: 2)
- Tidak memberi makan kepada orang miskin (Al-Maun: 3)
Ini menunjukkan bahawa keimanan bukan sekadar mengerjakan ibadah khusus seperti solat dan puasa, tetapi juga mencerminkan akhlak dan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan.
Kisah Abu Sufyan dan Teguran Surah Al-MaunDiriwayatkan bahawa sebelum memeluk Islam, Abu Sufyan bin Harb terkenal sebagai seorang yang kaya dan suka menyembelih kambing sebagai korban. Namun, apabila seorang anak yatim datang meminta sedikit daging, dia mengherdik dan menghalau mereka. Ini adalah contoh jelas sifat munafik: kelihatan baik di mata manusia tetapi hakikatnya tidak ikhlas dan tidak memiliki kasih sayang. Sikap seperti inilah yang ditegur oleh Allah dalam surah ini.
Mengapa Allah Mengutamakan Anak Yatim dan Orang Miskin?Dalam banyak surah lain, Allah mengulang peringatan tentang kepentingan menjaga dua golongan ini. Sebagai contoh, dalam Surah al-Mudatsir (42), Allah menggambarkan perbualan antara ahli syurga dan ahli neraka:
"Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar?"
Mereka menjawab:
"Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang solat dan kami juga tidak memberi makan kepada orang miskin." (Al-Mudatsir: 42-44)
Begitu juga dalam Surah al-Haqqah (31-34), Allah mengancam orang yang tidak beriman dan tidak memberi makan kepada orang miskin dengan azab yang dahsyat:
"Peganglah dia, kemudian belenggulah tangannya ke lehernya, kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala, kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar. Dan dia juga tidak mendorong untuk memberi makan kepada orang miskin." (Al-Haqqah: 31-34)
Ini menunjukkan bahawa Islam bukan hanya menekankan aspek ibadah ritual tetapi juga meletakkan kepedulian terhadap masyarakat sebagai bukti keimanan yang sebenar.
Islam Adalah Rahmat untuk SemuaIslam mengajar kita untuk menjadi insan yang penyayang dan peduli terhadap orang lain. Solat bukan sekadar perbuatan fizikal tetapi harus membentuk hati yang penuh kasih sayang. Jika kita mengaku sebagai Muslim, kita mesti menjadi rahmat kepada orang lain, terutamanya mereka yang memerlukan.
Keimanan bukan hanya dinilai melalui solat dan puasa, tetapi sejauh mana kita membantu dan menyayangi orang lain. Islam bukan sekadar ibadah, tetapi rahmat untuk semua. Semoga kita semua dapat mengambil pelajaran dan mengamalkan ajaran Islam dengan lebih menyeluruh.
Wallahu a'lam. Moga bermanfaat.