IM3, Kuantan
Mon - Sat: 9.00 am to 5.00 pm.
Font size: +
2 minutes reading time (435 words)

Hidup Segan Mati Tak Mahu

WhatsApp-Image-2025-04-10-at-4.51.58-PM

Penatnya hidup ni... bila boleh rehat ya?

Itu keluhan yang ramai daripada kita pernah rasa. Hidup terasa berat—dibebani tanggungjawab, diuji dengan masalah, kadang terasa hilang arah. Sampai terlintas di hati, "Bila la agaknya boleh tenang, boleh rehat sepenuhnya…"

Kata Imam Ahmad bin Hambal:

"Rehat yang sebenar hanyalah apabila kaki melangkah masuk ke dalam syurga."

Sebelum kita sampai ke syurga, ada satu hal yang pasti berlaku kepada semua iaitu kematian.

Soalnya sekarang, kita dah bersedia ke belum?
Andai kata Allah cabut nyawa kita hari ini, cukupkah bekalan yang kita bawa? Kita bakal terus ke syurga atau perlu "singgah" ke tempat yang lain (neraka) dahulu?

Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 185:

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati…"

Dan dalam Surah al-Mulk ayat 2:

"…Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya…"

Perhatikan susunan ayatni, Allah sebut "mati" dahulu, baru "hidup". Kenapa? Sedangkan kita hidup di dunia dulu baru mati. Kata Ulama', Allah dahulukan perkataan mati sebab mati itu sesuatu yang sangat besar, tapi malangnya sering kebanyakan manusia abaikan. Mereka hidup seolah-olah mereka tidak akan mati.

Kata Ulama', orang yang selalu ingat mati akan dapat 3 faedah:

  1. Segera bertaubat.
    Bila kita sedar bahawa hidup ini tidak lama, kita jadi lebih berhati-hati dengan dosa dan lebih cepat kembali (taubat) kepada Allah.
  2. Berlumba-lumba dalam amal soleh.
    Kita takkan tangguh-tangguh lagi nak buat baik. Kita mula rasa setiap hari sangat berharga.
  3. Pendekkan angan-angan.
    Tak ada lagi cita-cita yang melalaikan, sebab kita tahu hidup ini bukan tempat tinggal yang kekal, tapi hanyalah tempat persinggahan.

Allah juga berfirman dalam Surah al-Jumu'ah ayat 8:

"…sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu pasti akan menemui kamu…"

Tak kira muda atau tua, sihat atau sakit, kaya atau miskin, mati tetap akan datang tepat pada masanya.

Tak Perlu Takut Mati, Tapi Bersedialah Menghadapinya

Kita tak disuruh takut mati sampai hilang semangat hidup. Sebaliknya, kita diajak untuk bersungguh-sungguh buat persiapan menghadapinya. Sebab di akhirat nanti, Allah akan beri ganjaran kepada setiap amal yang kita lakukan.

Kalau kita benar-benar jujur dalam usaha kita, insyaAllah, Allah akan kurniakan ganjaran yang tak ternilai (syurga).

Itulah tempat rehat yang sebenar.
Syurga itu bukan tempat solat, bukan tempat puasa, bukan tempat sabar atau jihad tapi syurga adalah tempat menikmati hasil segala penat lelah kita semasa di dunia.

Tiada lagi kesedihan, tiada lagi ujian.
Tiada air mata, tiada kecewa.
Cuma bahagia yang abadi.

Kalau dulu kita hidup seperti "hidup segan, mati tak mahu,"
Kini kita pilih untuk hidup dengan tujuan, dan bersedia untuk mati dengan harapan.

Kerana kita tahu, bila kaki sudah melangkah ke syurga,

barulah kita boleh rehat dan itulah sebenar-benar kejayaan (Ali-Imran: 185) 

×
Stay Informed

When you subscribe to the blog, we will send you an e-mail when there are new updates on the site so you wouldn't miss them.

Ketenangan yang dicari
Solat: Antara Nikmat yang Manusia Tak Nampak
 

Comments

No comments made yet. Be the first to submit a comment
Already Registered? Login Here
Guest
Tuesday, 06 May 2025