By maisarah on Thursday, 27 November 2025
Category: Programs

Adab Dalam Berdoa: Belajar Dari Doa Nabi Ayub

Ramai antara kita berdoa seolah olah sedang memberi arahan. Nada doa penuh tuntutan, kecewa dan keluhan. Kadang kadang doa kita lebih mirip rungutan daripada pengharapan. Sebab itu doa Nabi Ayub sangat bagus untuk direnungi. Di saat baginda diuji dengan sakit yang panjang, tubuh yang lemah dan hampir kehilangan segalanya, cara baginda bermunajat tidak pernah berubah. Allah rakam satu doa yang sangat ringkas, tetapi sarat dengan adab, akhlak dan tauhid. Baginda tidak menyebut punca bencana, tidak meminta secara terperinci, tidak membandingkan diri dengan orang lain. Baginda hanya menyampaikan hakikat diri yang lemah dan mengangkat keagungan Tuhan yang Maha Penyayang

Antara adab terbesar dalam doa ialah bagaimana kita menisbahkan sesuatu kepada Allah. Nabi Ayub tidak berkata Allah sedang mengazabku, sebaliknya baginda menyebut aku ditimpa mudarat dan Engkaulah Tuhan yang Maha Mengasihani. Perkara yang buruk tidak dinisbahkan kepada Allah secara terus dalam bentuk bahasa menyalahkan, walaupun kita tahu semua berlaku dengan izin-Nya. Manakala dalam ayat lain, Nabi Ayub menyebut gangguan Syaitan sebagai punca. Bukan kerana Syaitan lebih berkuasa, tetapi kerana itulah adab seorang hamba. Aib tidak dilempar kepada Tuhan, ujian tidak dituduh sebagai kezaliman dan musibah tidak dijadikan alasan untuk memberontak kepada Pencipta. Seorang hamba menyebut kelemahan dirinya terlebih dahulu, bukan menuding kepada Tuhan

Adab juga terpancar apabila Nabi Ayub tidak meletakkan syarat dalam doa. Baginda tidak berkata jika Engkau sembuhkan aku, aku akan begini dan begitu. Tidak juga baginda menyebut masa atau bentuk pertolongan yang diinginkan. Ini menunjukkan bahawa dalam doa, seorang hamba tidak mengajar Tuhannya apa yang perlu dibuat. Dia hanya menyerah dan memilih percaya. Doa bukan tempat kita menentukan takdir, tetapi ruang untuk menunjukkan pergantungan mutlak. Semakin tinggi adab dalam doa, semakin dalam makna kehambaan. Semakin kita tunduk, semakin dekat kita kepada jawapan

Akhirnya, doa seorang hamba lahir dari hati yang mengenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya. Dia sedar dia lemah, Allah Maha Kuat. Dia sedar dia miskin, Allah Maha Kaya. Dia sedar dia hamba, Allah Raja. Itulah asas adab yang sebenar. Bila adab ini hidup dalam doa, maka doa tidak lagi sekadar permintaan, tetapi pengakuan diri dan penghambaan yang tulus. Dari sinilah seseorang mula merasakan ketenangan, walaupun belum mendapat jawapan. Kerana bagi orang yang benar benar berdoa sebagai hamba, dekat dengan Allah itu sendiri sudah menjadi jawapan.

Coretan Ziarah 26 Nov 2025 bawa asnaf ke HTAA dan bantu urus ke agensi untuk proses permohonan bantuan. Hari ini makin faham, manusia bukan perlukan duit semata, tapi harapan dan kekuatan jiwa. Moga Allah mudahkan semua urusan dan terima setiap langkah kecil sebagai ibadah

Leave Comments