Dalam hidup ini, kita selalu fikir tentang untung dan rugi. Dalam urusan duit, kerja, pelaburan, bisnes, semuanya kita timbang dan nilai. Tapi bagaimana pula dengan untung rugi kehidupan akhirat kita?

Satu perkara yang kadang-kadang kita lupa: segala amal ibadah yang kita buat bukan untuk orang lain, tapi untuk diri kita sendiri. Bila kita solat, berzikir, jaga aurat, baca al-Quran, itu semua adalah 'simpanan tetap' untuk diri kita .

Allah sendiri sebut dalam Surah Ar-Rum ayat 44:

"Sesiapa yang kufur ingkar, maka dialah yang menanggung akibat kekufurannya itu..."

Ayat ini datang sebagai peringatan. Allah nak kita faham bahawa ibadahyang kita buat tak menambah apa-apa pun pada Allah. Dia tidak berhajat kepada makhluk-Nya.

Kita solat atau tidak, Allah tidak rugi sedikit pun. Tapi kalau kita tinggalkan solat, kita yang rugi besar. Rugi masa. Rugi keberkatan. Rugi peluang untuk selamat di akhirat.

Kalau Kita Sayang Diri, Kita Akan Jaga Ibadah

Logiknya mudah: Kalau betul kita sayang diri kita, tentu kita akan buat yang terbaik untuk diri sendiri, kan? Kita akan jaga makan, jaga kesihatan, jaga masa. Tapi sayangnya, bila bab akhirat, ramai yang lalai. Kita leka dengan keseronokan dunia dan kadang-kadang kita buat maksiat seolah-olah kita tak akan tanggung akibatnya.

Ada orang buat dosa dan dia rasa "takpe, nanti taubat." Tapi kita lupa, taubat itu satu nikmat yang Allah beri, bukan satu jaminan yang kita pasti akan sempat.

Bayangkan kita jumpa makanan yang dah berbau, basi dan penuh lalat. Kita tahu kalau kita makan, kita akan sakit. Jadi apa kita buat? Kita buang makanan tu. Kita jauhi. Kenapa? Sebab kita tahu kesannya.

Sekarang bayangkan dosa. Ia mungkin nampak 'sedap' pada awalnya. Tapi kesannya perlahan-lahan 'meracuni' hidup kita. Hati jadi keras, amal jadi berat, hidup rasa sempit, hubungan dengan Allah makin jauh.

Kalau kita boleh elak makanan rosak demi jaga kesihatan, kenapa kita tak boleh elak dosa demi jaga keselamatan akhirat, kan?

Setiap Amal Soleh Adalah Pelaburan Untuk Diri Sendiri

Dalam ayat yang sama Allah sambung

"Dan sesiapa yang beramal soleh, maka mereka itulah yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Rum: 44)

semua amalan baik adalah persiapan untuk kehidupan abadi kita.

Kita bukan buat baik untuk orang lain. Kita sedang kumpul bekalan untuk hari di mana tiada siapa boleh bantu kita lagi iaitu hari hisab.

Dalam Surah ad-Dhuha, Allah sebut:

"Sesungguhnya kesudahan (akhirat) itu lebih baik bagimu daripada permulaannya (dunia)."

Nabi tidak pernah kejar dunia. Hidup baginda sederhana. Tidurnya di atas tikar kasar. Makanannya kadang tak cukup. Tapi baginda bersungguh kejar akhirat dan lihat bagaimana Allah hadiahkan dunia kepadanya. Baginda jadi pemimpin negara, disegani kawan dan lawan dan kekal dalam hati umat sampai ke hari ini.

Kenapa? Kerana baginda letak akhirat di depan.

Wallahu a'lam. Moga bermanfaat