Allah SWT berfirman:
"Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar."
Surah Ali Imran ayat 10
Allah berfirman kepada mereka:
"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut."
Surah Taha ayat 43-44
Bayangkan, Firaun yang mengaku dirinya tuhan pun Allah suruh tegur. Kenapa? Sebab Islam agama yang peduli. Islam bukan agama yang tengok orang buat salah kemudian diam atas alasan "itu urusan dia". Tegur bukan sebab benci, tapi sebab takut orang yang kita sayang terus hanyut tanpa ada siapa peduli.
Ada satu kisah pada zaman pemerintahan Abbasiyah tentang seorang khalifah bernama Al-Mu'tadid yang terkenal dengan kehidupan lagha dan minum arak. Pada suatu hari, seorang ulama bernama Abu Hasan Ali RA nampak rombongan membawa tong-tong arak menuju ke istana khalifah. Lalu beliau mengambil kapak dan memecahkan hampir semua tong arak tersebut. Tinggal satu sahaja yang tidak dipecahkan. Orang ramai kecoh lalu beliau ditangkap dan dibawa menghadap khalifah.
Khalifah bertanya, "Kenapa kamu pecahkan arak-arak itu? " Abu Hasan menjawab, "Aku pecahkan sebab aku kesian dekat kamu." Itu mesej besar dalam dakwah. Kalau tak ditegur, manusia akan terus tenggelam dalam lagha sampai mungkin mati tanpa sempat bertaubat. Kemudian khalifah bertanya lagi, "Kenapa pecahkan sembilan dan tinggal satu?" Abu Hasan menjawab, "Bila tong terakhir datang, timbul rasa riak dalam hati aku. Aku takut orang anggap aku hebat. Masa itu niat aku tak ikhlas, jadi aku berhenti." Tengok macam mana orang soleh jaga niat walaupun sedang mencegah kemungkaran.
Kemudian,khalifah bertanya lagi, "Siapa lantik kamu jadi pencegah?" Abu Hasan jawab, "Yang lantik aku ialah Tuhan yang lantik engkau jadi khalifah." Allah yang perintahkan orang beriman untuk saling mengingatkan.
Jadi bila ada muslim menegur isu pesta air, bukan semuanya kerana nak condemn orang. Ada yang benar-benar takut saudara seislam dia terjebak dengan perkara yang melalaikan dan membuka pintu maksiat. Cara menegur mungkin berbeza, ada yang lembut, ada yang tegas tapi jangan cepat anggap semua teguran itu kebencian.