Setiap kali tiba 10 malam terakhir Ramadan, suasana menjadi lebih hidup. Masjid-masjid dipenuhi jemaah yang menghidupkan malam dengan solat, zikir, doa, dan tadabbur al-Quran. NGO2 islam juga semakin giat menganjurkan kempen menggalakkan ibadah. Semua ini kerana dalam 10 malam terakhir itu terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, malam itu dinamakan sebagai Malam al-Qadr.

Bila Malam al-Qadr?

Persoalan yang sering timbul ialah, bila sebenarnya Malam al-Qadr itu berlaku? Jika kita mencari dalam al-Quran dan hadis, tidak ada satu pun dalil yang menyatakan tarikh spesifik bagi malam ini. Ada riwayat yang menunjukkan ia berlaku pada malam ke-21, ada yang mengatakan malam ke-27, dan ada juga yang menyebut mana-mana malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadan.

Namun, kenapa Allah merahsiakan malam ini daripada kita? Ada dua sebab utama:

1) Allah ingin melihat siapa yang benar-benar bersungguh-sungguh dalam ibadah dan percaya kepada janji-Nya. Jika malam ini sudah diketahui, kemungkinan ramai yang hanya beribadah pada satu malam itu sahaja dan mengabaikan malam-malam yang lain. Tetapi dengan merahsiakan malam ini, Allah mahu hamba-Nya terus beristiqamah dalam ibadah sepanjang 10 malam terakhir.

2) Allah menyayangi hamba-Nya dan ingin memberikan lebih banyak peluang untuk mendapat pahala berlipat ganda. Jika malam ini hanya diketahui satu malam sahaja, kita mungkin hanya berusaha pada malam itu sahaja. Tetapi dengan usaha beribadah selama 10 malam, pahala yang dikumpulkan pasti lebih banyak, kerana setiap amal soleh di bulan Ramadan sudah dijanjikan dengan gandaan pahala yang luar biasa.

Keistimewaan Malam al-Qadr


Dalam surah al-Qadr, Allah menyebut beberapa kelebihan yang ada pada malam ini:

1) Lebih baik daripada 1,000 bulan
Bayangkan, satu malam yang lebih baik daripada 83 tahun ibadah! Berapa ramai manusia yang dikurniakan umur sejauh itu utk beribadah? Allah Maha Pemurah memberi peluang kepada kita untuk menggandakan pahala hanya dalam satu malam sahaja.

2) Para malaikat, termasuk Jibril AS, turun ke bumi
Para malaikat yang suci drp dosa dan taat kepada Allah turun untuk membawa rahmat, keampunan dan keberkatan kepada mereka yang menghidupkan malam ini.

3) Malam yang penuh dengan kesejahteraan sehingga terbit fajar
Malam Al-Qadar itu dipenuhi dengan ketenangan dan keberkatan. Doa-doa yang dipanjatkan akan lebih mudah diangkat dan diterima oleh Allah.

Bayangkan, satu malam di mana seluruh langit dan bumi dipenuhi malaikat yang membawa keberkatan, rahmat dan doa-doa yang diangkat ke langit. Malam yang tidak ternilai, diberikan khas buat umat Nabi Muhammad SAW. Bagaimana kita boleh mensia-siakan peluang keemasan ini?

Bagaimana Menghidupkan Malam al-Qadr?

1) Bermula dengan taubat dan istighfar. Dalam hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan keikhlasan, Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka yang lalu. Keampunan adalah kunci utama. Sebelum kita memulakan ibadah lain, kita perlu membersihkan diri dengan taubat dan istighfar agar hati lebih ikhlas dalam beribadah.

2) Perbanyakkan solat malam 
Qiyam al-Lail atau solat sunat di waktu malam adalah amalan yang paling utama dalam menghidupkan malam al-Qadr.

3) Membaca dan mentadabbur al-Quran

4) Perbanyakkan berzikir dan berdoa 
Doa yang paling dianjurkan pada malam ini adalah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidatina Aisyah RA:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Engkau suka memberi keampunan, maka ampunilah aku."

5) Bersedekah dan melakukan amal kebajikan 
Jika kita ingin mendapatkan pahala yang berkekalan, sedekah pada malam ini adalah salah satu caranya. Bayangkan, satu ringgit yang kita infaqkan pada malam ini bernilai seperti bersedekah selama 1,000 bulan.

Allah memberikan kita satu malam yang luar biasa dalam hidup ini, satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Nabi Muhammad SAW yang maksum dan dijamin syurga pun bersungguh-sungguh mencari Malam al-Qadr. Bagaimana dengan kita yang penuh dengan dosa dan kelemahan?

Mulakan dengan taubat, isi dengan ibadah, dan jangan sesekali berputus asa dalam mencari rahmat Allah. Mungkin ini Ramadan terakhir kita, mungkin ini peluang terakhir kita untuk bertemu Malam al-Qadr. Jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja tanpa kita berusaha menghidupkannya. Semoga kita semua diberikan taufik dan hidayah untuk merebut peluang keemasan ini dan semoga Allah menerima segala amalan kita. Aamiin.