Bila penulis tengok trend terkini di Tiktok, terdapat segelintir anak muda yang post kehidupan mereka yang mana sebelah paginya pergi ke majlis ilmu agama dan malamnya ke konsert. Mereka kata inilah yang dimaksudkan dengan "seimbang dunia akhirat" sekaligus membuatkan penulis berfikir dan buat kira-kira. Kita hidup di dunia hanya dalam lingkungan 50-60 tahun sahaja. Sebaliknya, kehidupan di akhirat adalah kekal dan abadi. Malah, Allah SWT menggambarkan dalam al-Quran bahawa satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia (Surah al-Hajj: 47). Ini memberikan perspektif bahawa kehidupan dunia hanyalah sementara, sedangkan akhirat adalah destinasi terakhir yang jauh lebih panjang dan penting.

Maka, apabila kita sebut tentang "seimbang dunia akhirat," ia sepatutnya membawa makna bahawa kita menjalani kehidupan dunia ini dengan panduan agama sebagai persiapan untuk akhirat. Namun, jika "keseimbangan" yang dimaksudkan lebih cenderung kepada memenuhi nafsu dunia tanpa batasan syariat, maka kita sebenarnya mungkin telah tersasar dari maksud sebenar.

Kendatipun kehidupan di akhirat lebih panjang berbanding dunia, kita tidak boleh mengabaikan dunia kerana dalam Islam, dunia tidak pernah diabaikan. Terdapat kata-kata hikmah yang boleh kita jadikan sandaran, "Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari. Namun, dalam usaha mencapai kejayaan duniawi, kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap akhirat.

"Lebihkan akhirat" tidak bermakna kita menolak dunia sepenuhnya. Sebaliknya, menjadikan dunia sebagai ladang untuk akhirat, tempat kita menyemai benih amal soleh yang akan dituai hasilnya kelak. Dalam Surah al-Qasas, ayat 77, Allah berfirman: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, menunjukkan Allah tidak pernah suruh manusia meninggalkan dunia secara total akan tetapi berpada-padalah agar ia menjadi bekalan yang menguntungkan manusia di akhirat.

Disini, penulis ingin mengambil peluang untuk kongsikan mengenai keseimbangan yang sebenar. Keseimbangan yang sebenar adalah memenuhi hak-hak Allah dan sesama makhluk dengan memastikan setiap aspek kehidupandilakukan dengan niat mencari keredaan Allah. Jadi, renungkanlah, adakah aktiviti yang kita lakukan setiap hari membantu kita untuk dekat dengan Allah atau sebaliknya. Sanggupkah kita menggadai akhirat demi keseronokkan dunia yang sementara? Semua pilihan di tangan kita. 


Wallahu a'lam.