Alhamdulillah, pada Ramadan kali ini telah berlangsung dengan penuh makna Majlis Iftar Kaseh Ramadan 2026 anjuran Al-Jaafar Centre dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Yayasan Kebajikan at-Tibyan dan Bank Islam. Program ini menghimpunkan kira-kira 120 orang anak-anak yatim, asnaf dan keluarga kurang berkemampuan untuk bersama-sama menikmati hidangan berbuka puasa dalam suasana penuh kasih sayang dan kebersamaan.

Kenapa kita buat majlis iftar seperti ini? Jawapannya simple. Ramadan adalah bulan yang penuh rahmat dan kebiasaannya ketika berbuka, orang akan sediakan makanan yang lebih istimewa sedikit daripada hari biasa. Ia seakan "reward" selepas seharian menahan lapar dan dahaga. Jadi kita juga ingin raikan anak-anak ini dengan cara yang sama, supaya mereka juga dapat merasa nikmat berbuka yang meriah, makan makanan yang sedap dan rasa dihargai.

Islam sendiri sangat menggalakkan kita untuk memberi makan kepada orang lain, terutama kepada mereka yang memerlukan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Insan ayat 8:

"Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan."


Ayat ini menunjukkan bahawa memberi makan kepada golongan yang memerlukan adalah satu amalan yang sangat mulia di sisi Allah. Malah Rasulullah SAW juga bersabda:

"Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahala orang tersebut sedikit pun."
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Dalam majlis ini juga telah diadakan agihan duit raya kepada anak-anak yang hadir sebagai tanda kegembiraan menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Dato' Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad bin Sulaiman, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) serta Dato' Zulkifli Jaafar, Penaung Al-Jaafar Centre merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan at-Tibyan.

Semoga usaha kecil ini menjadi asbab kebahagiaan buat mereka, dan mudah-mudahan Allah menerima setiap kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan ini. Kadang-kadang yang kita beri mungkin kecil, tapi bagi mereka ia membawa senyuman yang sangat besar.



Kata Aluan


Agihan Duit Raya


Iftar Bersama