19 April 2026 - Alhamdulillah, sempena menjelangnya musim Raya Haji, Yayasan Kebajikan at-Tibyan dengan kerjasama Al-Jaafar Centre telah berjaya menganjurkan Program Lil Hajj Explorer, sebuah program simulasi ibadah haji khas untuk kanak-kanak. Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada adik-adik tentang apa itu ibadah haji secara lebih dekat dan praktikal, bukan sekadar teori di dalam kelas. Menariknya, sambutan yang diterima sangat luar biasa sehingga tempat yang pada awalnya hanya dibuka untuk 50 orang peserta terpaksa ditambah kepada 80 orang. Alhamdulillah, rezeki program dan semangat ibu bapa yang ingin anak-anak mereka belajar lebih awal tentang rukun Islam kelima ini.


Program bermula seawal jam 8.30 pagi. Adik-adik. Slot pertama dimulakan dengan perkongsian oleh Ustaz Moszakir yang menerangkan secara ringkas tetapi sangat jelas tentang perjalanan ibadah haji. Beliau turut menunjukkan gambaran tempat-tempat penting di Mekah dan Madinah supaya anak-anak dapat membayangkan bagaimana suasana sebenar ketika menunaikan haji.

Selepas sesi penerangan, program diteruskan dengan aktiviti simulasi di sekitar Al-Jaafar Centre. Adik-adik dibawa berjalan satu pusingan lengkap, seolah-olah berada dalam suasana sebenar ibadah haji. Dari kawasan pagar sehinggalah ke kawasan tasik, setiap checkpoint telah disusun dengan teliti. Di setiap hentian, Ustaz Moszakir akan berhenti seketika untuk menerangkan satu per satu perbuatan dalam haji, kenapa ia dilakukan dan bagaimana cara melaksanakannya dengan betul. Pendekatan praktikal ini sangat membantu anak-anak untuk lebih memahami konsep ibadah secara langsung.


Bahagian yang paling menarik adalah apabila adik-adik mula memakai ihram dan belajar cara berniat sebelum memulakan simulasi. Ada yang masih keliru pada awalnya, tetapi dengan bimbingan para mutawwif muda daripada PMDIUC, mereka akhirnya dapat mengikuti setiap langkah dengan baik. Walaupun hanya simulasi, suasananya cukup memberi kesan seolah-olah benar-benar berada di Tanah Suci.

Cuaca pada hari tersebut juga sangat baik, tidak terlalu panas dan tidak hujan. Yang lebih menggembirakan, anak-anak kelihatan sangat enjoy dan terlibat aktif sepanjang aktiviti. Ada yang bertanya, ada yang mencatat dan ada juga yang berkongsi pengalaman mereka sendiri. Ia jelas menunjukkan bahawa pendekatan pembelajaran secara praktikal ini sangat berkesan untuk kanak-kanak memahami sesuatu ibadah dengan lebih mendalam.

Program diakhiri dengan sesi tahallul sebagai simbol penutup ibadah haji. Walaupun hanya simulasi, ia memberi pengalaman bermakna kepada semua peserta tentang keseluruhan perjalanan haji dari awal hingga akhir. Semoga Program Lil Hajj Explorer ini menjadi satu titik mula untuk mencintai ibadah haji sejak kecil dan mudah-mudahan suatu hari nanti mereka benar-benar berpeluang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci dalam keadaan yang terbaik.

Terima kasih yang tak terhingga kami ucapkan kepada semua penyumbang yang telah sama-sama menyokong Program Lil Hajj Explorer ini. Dengan bantuan dan sumbangan anda semua, program ini dapat dijalankan secara 100% percuma untuk semua peserta. Alhamdulillah, tanpa sokongan ini memang tak mudah untuk kita sediakan pengalaman bermakna macam ini kepada anak-anak. Semoga setiap sumbangan yang diberi jadi amal jariah yang berpanjangan dan diberkati Allah SWT.


Sekalung penghargaan juga buat adik-adik mutawwif daripada PMDIUC yang banyak membantu sepanjang program ini berjalan. Dari awal sampai habis, mereka memang all out bantu uruskan adik-adik, guide setiap checkpoint, dan pastikan semua berjalan dengan lancar. Memang sangat membantu dan buat program ni jadi lebih tersusun dan hidup. Terima kasih banyak, semoga Allah balas segala usaha kalian dengan kebaikan yang berlipat ganda.