Pada 14 Februari 2026, satu majlis tadabbur telah berlangsung bersama tujuh buah rumah anak yatim dan asnaf sekitar Kuantan dan Pekan berkumpul menimba ilmu dan rasa bersama. Terima kasih diucapkan kepada Al-Jaafar Centre kepada menjemput dan memberi peluang Yayasan Kebajikan at-Tibyan untuk bersama menjayakan program ini.

Majlis ini dianjurkan secara kolaborasi oleh Kompleks Permata Camar, Alumni SMKTA, Team Ustazah Hazimin dan Al-Jaafar Centre, serta dihadiri tetamu kehormat iaitu Datin Firdhaus binti Muhammad Yatim, Dato Haji Halidan bin Md Daud dan Tn Haji Abdul Rahman bin Abdullah.


Kisah Ghulam Yang Menggetarkan Jiwa

Perkongsian tadabbur disampaikan oleh Ustazah Hazimin binti Abdul Hamid dengan gaya interaktif dan penuh penghayatan. Beliau membawakan kisah ghulam yang disebut dalam tafsir kisah Ashabul Ukhdud berkaitan Surah Al-Buruj.

Kisah ini menceritakan seorang anak kecil yang pada awalnya belajar agama daripada seorang ahli ibadah. Dengan izin Allah, dia dikurniakan karamah mampu menyembuhkan orang sakit. Berita itu sampai kepada raja zalim yang takut pengaruh iman anak tersebut akan menggugat kekuasaannya.

Raja akhirnya buat kputusan nak bunuh ghulam itu. Banyak cara yang Taja dah cuba tapi satu pun tak berhasil sampai tetapi sebelum dibunuh, budak itu sendiri mengajar raja cara untuk membunuhnya iaitu dengan menyebut nama Allah di hadapan orang ramai. Saat raja melakukannya, ghulam itu syahid dan orang ramai menyaksikan sendiri kebenaran iman tersebut. Dari situ, masyarakat beriman kepada Allah beramai-ramai. Seorang anak kecil, dengan keyakinan penuh kepada Tuhan, menjadi sebab perubahan satu masyarakat.

Pengajaran utama yang ditekankan ialah iman bukan bergantung pada usia, kedudukan atau kekuatan fizikal. Iman adalah keyakinan hati. Kadang-kadang orang dewasa sendiri goyah, tetapi seorang anak kecil mampu berdiri teguh mempertahankan akidah

Kisah ini mengajar bahawa:

•kebenaran tetap menang walaupun nampak lemah

•iman yang ikhlas boleh memberi kesan besar kepada dunia

•pengorbanan di jalan Allah tidak pernah sia-sia


Ini sangat dekat dengan realiti hidup hari ini. Ramai manusia takut kehilangan dunia, sedangkan ghulam sanggup kehilangan nyawa demi iman.

SESI TADABBUR


Setinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini secara langsung atau tidak langsung. Semoga setiap tenaga, masa dan usaha yang dicurahkan menjadi amal jariah berpanjangan.

Kisah ghulam mengingatkan kita bahawa perubahan besar kadang bermula daripada jiwa kecil yang yakin kepada Allah. Dan mungkin hari ini, di antara anak-anak yang hadir itu, sedang Allah siapkan generasi yang bakal menggoncang dunia dengan iman mereka